Tahap United masih jauh daripada Bayern

Kekalahan 4-3 Manchester United di tangan Bayern Munich awal pagi tadi bukan satu kejutan, malah sudah dijangka.

Beberapa jam selepas perlawanan, ternanti-nanti apakah reaksi pakar sukan dan wartawan antarabangsa, ataupun lebih tepat, apa lagi kata-kata untuk mereka hamburkan terhadap United yang belum digunakan sepanjang dua minggu yang lepas?

“Apa yang sedang berlaku kepada United dalam tempoh awal musim ini boleh dibahagikan kepada tiga definisi – teruk, sangat teruk atau teruk tidak terhingga,” karang wartawan The Guardian, Barney Ronay, dan ia sememangnya sukar untuk ditidakkan.

Pada mereka yang tidak menonton perlawanan, skor 4-3 itu mungkin memberikan gambaran ia pertarungan yang cukup sengit dan United kurang bernasib baik untuk tewas dengan jurang satu gol.

Hakikatnya jauh sekali dari sebegitu.

Benar, United memulakan perlawanan dengan baik dan hampir mendahului seawal lima minit pertama hasil larian bijak pemain muda, Facundo Pellistri, tetapi digagalkan oleh terjahan saat akhir bek kiri Bayern, Alphonso Davies.

United kelihatan mula selesa mengawal rentak selama 20 minit seterusnya sehinggalah rembatan pemain sayap Bayern, Leroy Sane, dari bahagian sayap kanan berjaya menerjah jaring, gara-gara kesilapan penjaga gol United, Andre Onana yang sepatutnya mampu menampan serangan itu.

Onana menunjukkan perwatakan karismatik dengan menawarkan diri untuk ditemu bual pasca perlawanan dan memperakui bahawa kesilapannya itu mematahkan semangat seluruh pasukan dan menjadi faktor besar kekalahan mereka.

Dia, bagaimanapun, cuba sebaik mungkin untuk menebus kesilapan dengan melakukan tampanan demi tampanan yang cukup baik dalam baki perlawanan, tetapi sekuat mana pun usahanya, Bayern tetap menjaringkan gol sebanyak tiga kali lagi.

Kebanyakan laporan dan berita tentang perlawanan ini sejak beberapa hari lepas rata-ratanya berkisarkan Harry Kane dan bagaimana United bakal menyesal kerana tidak mencuba sedaya-upaya untuk mendapatkan khidmatnya.

Kane sendiri menggesa rakan sepasukannya untuk mengeksploitasi detik-detik sukar yang sedang United lalui dan diramalkan bakal menjadi salah seorang pemain yang menjaringkan gol.

Ramalan itu nyata menjadi kenyataan sewaktu Kane menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa kedua. Dia juga menunjukkan persembahan yang baik secara keseluruhan, tetapi bintang buat Bayern yang menjadi punca barisan pertahanan United dirobohkan adalah pemain muda berbakat besar, Jamal Musiala.

Bayern teramat berbeza dengan Tottenham, di mana Kane bukan sahaja dipertanggungjawabkan untuk menjaringkan gol tetapi juga memainkan peranan sebagai pemain kreatif yang membuka ruang untuk rakan sepasukan.

Dengan adanya kelibat Musiala, serta pemain sayap seperti Sane, Serge Gnabry, Kingsley Coman dan penyerang versatil Thomas Muller, Kane kini mampu untuk beraksi dengan lebih bebas dan kelihatan cukup selesa dalam tempoh singkatnya bersama Bayern.

Pujian tetap harus diberikan kepada United kerana tidak putus semangat untuk cuba mengejar sepanjang tempoh 90 minit, dan penyerang baru, Rasmus Hojlund, pastinya gembira kerana berjaya menjaringkan gol sulung.

Tetapi hakikatnya adalah standard pasukan mereka masih cukup jauh daripada apa yang boleh dilabelkan sebagai memberangsangkan.

Pengurus United, Erik Ten Hag, berkeras menidakkan bahawa United sedang berhadapan krisis ketika ini.

Kunjungan ke Burnley dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris seterusnya bakal memberikan pencerahan lebih lanjut.

Sumber – Stadiumastro