Terbuka Hong Kong BWF: Pearly-Thinaah kembali berkeyakinan tinggi

Pearly Tan tidak dapat lari daripada rasa terkilan tetapi pengakhiran selaku naib juara Terbuka Hong Kong BWF hari ini menjadi titik tolak kepada mereka untuk beraksi lebih jitu.

Walaupun berbekalkan kelebihan 21-14 dalam set pertama, prestasi konsisten yang diharapkan seperti yang dilaungkan semalam tidak menjadi kenyataan selepas dia dan gandingan beregu wanitanya, M Thinaah, membenarkan lawan bangkit 24-22.

Malah, mereka semakin tidak bermaya ketika mengharungi set penentuan untuk kekalahan 9-21.

“Kami berasa amat kecewa tapi aspek positifnya ialah kami mara sejauh ini dan mengembalikan keyakinan.

“Kami cuma perlu memperbaiki detik mata penting.

“Saya juga gembira bebas kecederaan dan selepas ini menguatkan fizikal lagi,” kata Pearly.

Kelemahan itu turut diperakui Thinaah yang berpandangan: “Kami melakukan kesilapan mudah dalam detik penting, pihak lawan sebaliknya lebih bersabar.

“Kami tidak mahu mengambil pusing tentang perkara negatif dan hanya mahu fokus kepada yang positif.”