Kejohanan Cyclocross Malaysia ditunda ke Mei

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) — Kejohanan Cyclocross Malaysia yang dijadual berlangsung di Taman Rekreasi D.R. Seenivasagam di Ipoh, Perak pada 11 dan 12 Mac ini ditunda ke 27 hingga 28 Mei depan.

Pengerusi Persatuan Rakan Promosi Pelancongan Malaysia Datuk Anas Yusof Sulaiman berkata faktor penundaan perlumbaan berbasikal berhalangan atau singkatannya CX itu disebabkan penganjuran Hari Landskap Negara yang diadakan di venue sama.

Beliau berkata beberapa perkara terpaksa diteliti semula membabitkan aspek protokol keselamatan, teknikal dan atur cara kejohanan.

“Sebagai menghargai dan sokongan kepada Hari Landskap Negara dan memahami keperluan protokol keselamatan, selepas berbincang dengan pelbagai pihak kami buat keputusan untuk menangguhkan kejohanan ini.

“Kalau teruskan kami juga akan ada masalah terutama dari segi teknikal sebab cyclocross tak macam (perlumbaan) basikal biasa, ia perlukan jarak yang betul, jadi kalau lari (jarak) sikit, kami akan mempunyai masalah untuk anjurkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada masa sama, Anas Yusof berkata pihaknya menanggung kerugian berikutan penangguhan berkenaan, namun pihak penaja kekal komited untuk terus menjayakan kejohanan yang julung kali bakal dianjurkan itu.

“Peserta juga memberi maklum balas yang positif apabila menyatakan mahu tetap bersaing meskipun ditangguhkan ke Mei. Mereka sangat teruja kerana kejohanan seumpama ini pertama kali di Malaysia,” katanya.

Berdasarkan perancangan, selepas penganjuran di Ipoh, kejohanan akan beralih ke Selangor sebelum saingan antarabangsa diadakan di Bagan Datuk, Perak yang bakal disertai peserta dari luar negara bagi menghangatkan perlumbaan dengan tarikh akan dimuktamadkan kelak.

Hadiah wang tunai keseluruhan bagi setiap perlumbaan berjumlah RM16,000 dan pemenang juga bakal menerima jersi bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Sebanyak 10 kategori dipertandingkan pada setiap perlumbaan dan peserta boleh mendaftar terus dengan melayari laman sesawang www.sports360.my atau www.bikeaway.com.my atau berhubung secara langsung dengan sekretariat di talian 018-9097203.

Sumber – BERNAMA