Sukan SEA 2023: Joo Ngan serah tugas jurulatih muda kemudi skuad berbasikal lebuh raya

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) – Legenda berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan tetap dengan pendirian untuk tidak lagi mengemudi skuad berbasikal lebuh raya negara pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh, Mei ini.

Selaku watak penting kepada pencapaian skuad berbasikal negara meraih pingat emas acara lebuh raya lelaki pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam, Joo Ngan, 76, berpendapat sudah tiba masanya misi mempertahankan kilauan pingat itu diserahkan kepada jurulatih muda.

“Sebenarnya, saya adalah orang lama dan kalau boleh tidak mahu campur. Kita patut beri peluang jurulatih muda untuk cari pengalaman dan perlu tahu bagaimana untuk menang serta elakkan kekalahan

“Sekarang saya pun tidak tahu siapa yang akan menjadi jurulatih baharu kerana masih dalam perbincangan. Pada temasya Sukan SEA di Hanoi, Vietnam kita berada dalam momentum terbaik, jadi sebab itu kita berjaya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Meskipun tiada bayangan siapa bakal mengisi kekosongan jawatan jurulatih bagi menggantikannya berbaki lebih kurang dua bulan temasya itu membuka tirai, Joo Ngan menyifatkan skuad negara bakal berdepan saingan sukar berikutan pasukan lain dijangka membariskan pelumba-pelumba terbaik mereka.

“Pada tahun ini, cabaran mungkin agak sukar kerana saingan kuat daripada negara-negara lain. Jadi saya harap jurulatih yang dilantik dapat menukar strategi perlumbaan kerana kita memiliki barisan pelumba yang kuat,” katanya.

Pada temasya dwitahunan di Hanoi, skuad berbasikal negara menamatkan cabaran dengan membawa pulang satu emas, dua perak dan dua gangsa.

Emas diraih menerusi Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff bagi acara lebuh raya lelaki manakala Nur Aisyah Mohamad Zubir meraih perak bagi acara lebuh raya wanita sebelum membantu pasukan lebuh raya wanita disertai Nor Aisyah Munirah Chek Ramli, Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad, Jupha Somnet dan Zhen Yi Yeong meraih kilauan pingat sama.

Nur Aisyah dalam masa sama meraih gangsa bagi acara kriterium wanita manakala Nur Aiman Rosli menghadiahkan kilauan pingat sama bagi acara ujian masa lelaki.

– BERNAMA