KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) – Ketua Jurulatih bola sepak wanita negara, Soleen Al-Zoubi, memanggil 47 pemain untuk menyertai sesi percubaan dan pemilihan skuad Malayan Tigress bermula hari ini.
Sesi tersebut selama empat hari tu sehingga Jumaat ini berlangsung di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, Petaling Jaya.
FAM menerusi catatan di Facebook rasminya memaklumkan sesi tersebut sebagai persiapan awal skuad Malayan Tigress mengharungi cabaran Sukan SEA ke-32 di Phnom Penh, Kemboja, Mei ini.
Lima pemain dari skuad yang beraksi pada pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 di Phnom Penh baru-baru ini iaitu S. Thivashini, Kanchenjeet Kaur, Lauren Hoh Ruyi, Nur Amirah Abdul Rahman dan Nur Najwa Irdina Zaidi turut dipanggil menyertai sesi percubaan dan pemilihan itu.
“Selain itu, barisan pemain ini juga telah terpilih berdasarkan pemerhatian Soleen dalam Festival Bola Sepak Wanita Serantau FAM dan Liga Super Wanita Selangor.
“Sepanjang sesi pemilihan itu, barisan pemain yang dipilih perlu menjalani pelbagai ujian kecergasan seperti ujian kepantasan serta ‘strength and power’ selain latihan intensif di padang,” menurut catatan itu.
Sebagai rekod, FAM mengambil keputusan tidak menghantar skuad wanita negara menyertai Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam tahun lepas atas faktor prestasi dalam dua edisi terdahulu.
– BERNAMA