Atlet karate negara akhiri kejohanan SEAKF di tempat kelima keseluruhan

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) – Skuad karate negara perlu merapatkan jurang yang luas dalam prestasi mereka sebelum ke Sukan SEA Kemboja berdasarkan keputusan yang dicapai dalam Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) Ke-10.

Skuad negara hanya dapat membawa pulang tiga pingat emas, lima perak dan lima gangsa daripada kejohanan selama tiga hari yang berakhir di Manila, Filipina hari ini untuk berada di kedudukan kelima keseluruhan.

Skuad Vietnam pula seakan beraksi di liga berlainan, dengan memperoleh sejumlah besar pingat dengan 23 emas, 20 perak dan 23 gangsa untuk berada di tangga teratas diikuti Thailand  (8-10-18), Indonesia (8-5-11) dan Filipina (6-5-11).

Pingat emas Malaysia disumbangkan Siti Nur Azwani Nor Azli menerusi acara Kumite (Sparring) Wanita 61 kilogram (kg), S Geerijaieswaran Pillai (Lelaki 67kg) dan  Muhammad Arif Afifuddin (Lelaki 75kg).

Sementara itu, Juara Wanita 50kg Sukan SEA C Shahmalarani membawa pulang perak selepas tewas 1-5 kepada wakil tuan rumah Junna Tsukii di final.

Juara Sukan Malaysia (Sukma) dalam kategori 55kg,   K Thevendran menyumbangkan perak dalam acara Senior Lelaki dan gangsa bagi kategori Bawah 21(B-21), Kumite Berpasukan Lelaki juga menyumbang perak.

Muhammad Isyraf Faiz Mohd Ismifarizal (Kadet Lelaki 70kg) dan Muhammad Arash Sirajudeen (lelaki 84kg) masing-masing membawa pulang gangsa.

Dalam acara Kata, Muhammad Aiqal Asmadie memperoleh perak berganda menerusi acara Senior Lelaki dan B-21, selain gangsa daripada Berpasukan Wanita dan B-21 Wanita menerusi  Lovelly Anne Robberth.

Pengurus Pasukan S Sukumaran ketika dihubungi berkata skuad negara akan berusaha unutk mengukuhkan strategi mereka sebelum Sukan SEA yang dijadualkan berlangsung dari  5 hingga 17 Mei depan.

“Atlet-atlet telah memberikan yang terbaik tetapi masih perlu menambah baik aksi mereka dalam usaha kami untuk mencapai tahap maksimum. Kami perlu menambah baik dalam aspek teknikal dengan harapan untuk mendapat keputusan yang lebih baik di Sukan SEA nanti,” katanya. 

Pada Sukan SEA Hanoi Mei lepas, Malaysia memenangi empat emas dan enam gangsa menerusi karate.

– BERNAMA