Zaidatul dapat tonik terbaik menjelang Sukan SEA Kemboja

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) – Pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli memperoleh ‘tonik’ terbaik menjelang Sukan SEA 2023 di Kemboja apabila meraih pingat emas acara 100 meter (m) pada Kejohanan Kuala Lumpur Allcomers di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini. 

Atlet berusia 30 tahun itu yang mewakili Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), mencatat masa 11.74 saat (s) meninggalkan pelari Sabah, Nur Aishah Rofina Aling (12.14s) dan S. Komalam (12.22s) dari Perak yang masing-masing meraih perak dan gangsa. 

Ketika ditemui pemberita, pelari kelahiran Kedah itu berkata kejohanan tersebut merupakan antara aksi pemanas badan sebelum membawa cabaran negara pada temasya sukan dwitahunan itu, selain persediaan bagi menghadapi Terbuka Filipina bermula Selasa ini. 

“Saya jadikan kejohanan ini sebagai medan untuk dapatkan ‘feel’ sebelum berlari di Terbuka Filipina.

“Kalau ikutkan, keputusan menyertai Kuala Lumpur Allcomers ini dibuat pada saat akhir atas permintaan jurulatih untuk saya buat catatan masa terbaik sebagai persiapan sebelum ke Filipina,” katanya.

Zaidatul Husniah berkata beliau dijadual menyertai Terbuka Filipina dari 21 hingga 26 Mac ini sebelum beraksi di Sukan SEA Kemboja, namun keputusan acara yang bakal disertai masih dalam perbincangan bersama jurulatih. 

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat acara 100m wanita pada temasya Sukan SEA adalah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur menerusi Zaidatul Husniah yang meraih perak dengan catatan 11.74s.

Sementara itu, kategori 100m lelaki menyaksikan atlet Selangor mendominasi pungutan pingat dengan Adam Hakim meraih emas selepas merekod masa terpantas 10.68s.

Tempat kedua milik Nabil Alwani yang mencatat masa 10.79s manakala gangsa diraih Thaqif Hisham (10.81s).

– BERNAMA