UCL Wanita: Arsenal gagal ke final tewas kepada Wolfsburg dalam masa tambahan

Impian Arsenal untuk layak ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) Wanita buat kali pertama sejak 2007 tidak kesampaian selepas gol Pauline Bremer dalam waktu kecederaan memastikan kemenangan 5-4 Wolfsburg secara agregat awal pagi tadi.

Pasukan tuan rumah itu menggembirakan 60,063 penyokong yang hadir di Stadium Emirates apabila Stina Blackstenius membuka jaringan pada minit ke-11 tetapi bekas pemain The Gunners, Jill Roord, memadamkan kelebihan itu berselang setengah jam.

Kapten Wolfsburg, Alexandra Popp, kemudian meletakkan pelawat di depan pada minit ke-58 sebelum jaringan penyamaan Jen Beattie memaksa perlawanan itu diheret ke masa tambahan.

Katie McCabe hampir memberikan gol kemenangan buat Arsenal tetapi percubaannya hanya sedikit melepasi palang gol dan juara dua kali, Wolfsburg, membuktikan mereka pasukan yang lebih baik apabila Bremer bertindak sebagai wira pasukan itu untuk mereka layak ke final dengan kemenangan 3-2.

Kemenangan itu menyaksikan Wolfsburg akan bertemu Barcelona bagi penentuan kejuaraan di Eindhoven pada 3 Jun depan.

Sumber-Stadiumastro