BAMTC: Malaysia mudah atasi UAE

Malaysia menepati ramalan apabila merakamkan kemenangan dalam saingan Kejohanan Berpasukan Campuran Asia selepas menewaskan tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) 5-0 sebentar tadi.

Skuad kebangsaan itu tidak mengambil mudah berdepan lawan Timur Tengah itu, dengan menurunkan pemain seperti Lee Zii Jia, Goh Jin Wei serta Pearly Tan-M. Thinaah antara tang turun ke gelanggang.

Zii Jia memberikan mata pertama buat Malaysia apabila menewaskan Bharath Latheesh 21-12, 21-15 dalam pertembungan 31 minit itu.

Goh Jin Wei kemudian menggandakan kelebihan Malaysia apabila mengatasi Madhumitha Sundarapandian 21-0, 21-7 dalam perlawanan kedua.

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menjadikan kedudukan 3-0 dengan kemenangan 21-11, 21-13 ke atas Dev-Dhiren Ayyapan, sebelum Pearly -Thinaah mengatasi Sanika Gurav-Taabia Khan 21-9, 21-8 menjadikan kedudukan 4-0.

Kemenangan bersih dilengkapkan oleh apabila beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menewaskan Dev Vishnu-Aleena Qathun 21-10, 21-9.

Malaysia akan menentang Kazakhstan esok sebelum perlawanan besar menentang India.

India juga mudah mengatasi Kazakhstan 5-0 untuk mendahului Kumpulan B, selepas dibolosi kurang mata berbanding Malaysia.

Kedua-dua pasukan memperoleh 210 mata, tetapi India bolos 80 mata berbanding Malaysia 94 mata.

Pasukan negara berkemungkinan akan menurunkan pemain kedua mereka termasuk Leong Jun Hao, Teoh Mei-Goh Pei Kee menentang Kazakhstan.