India pencabar utama Malaysia

Atas kertas, India dianggap sebagai pencabar utama Malaysia pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 yang membuka tirainya di Dewan Pameran Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa.

Bagaimanapun, bekas pemain perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim tetap percaya barisan pemain kali ini memiliki kekuatan tersendiri dalam menyaingi pasukan lawan.

“Kelebihan kita mungkin kepada gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi biarpun India turut memiliki satu wakil beregu yang kuat.

“Beregu wanita pula saya percaya kita tidak berdepan masalah kerana kita memiliki pemain nombor lima dunia, Pearly Tan-M Thinaah selain gandingan Teo Mei Xing-Go Pei Kee.

“Begitu juga untuk beregu campuran yang diperkuatkan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei. Saya yakin dengan kemampuan mereka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Pada BAMTC kali ini, Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan diundi dalam Kumpulan B bersama India, Kazakhstan dan pasukan tuan rumah, UAE.

Kumpulan A dibarisi China, Korea Selatan, Singapura dan Uzbekistan; Kumpulan C – Indonesia, Thailand, Bahrain, Syria, Lebanon, manakala Kumpulan D – Jepun, Taiwan, Hong Kong dan Pakistan.

“Ya, ikutkan India pasukan pilihan Kumpulan B terutama untuk perseorangan wanita yang kita agak jauh ketinggalan di belakang biarpun dibarisi Goh Jin Wei dan Wong Ling Ching.

“Bagi perseorangan lelaki pula kekuatan pasukan negara sama ada menurunkan Lee Zii Jia atau Leong Jun Hao (ranking ke-66 dunia) adalah India dalam 50-50.

“Begitupun saya berharap setiap pemain yang diberikan tanggungjawab turun beraksi akan lebih berdisiplin dan tampil dengan semangat juang tinggi masing-masing,” ujarnya.

Mengulas kemungkinan Malaysia menurunkan scratch pair dalam acara beregu lelaki dalam memburu mata penting, Roslin melihat perkara tersebut bukan masalah buat skuad negara.

“Jika coach Rexy Mainaky mahu melakukan scratch pair, itu tidak akan memberikan masalah. Sebelum ini pun semasa sesi latihan, Aaron-Wooi Yik dan Yew Sin-Ee Yi pernah bertukar pasangan antara mereka.

“Apa yang penting setiap pemain yang digandingkan atau diturunkan nanti dapat memberikan aksi terbaik bagi menyumbang mata buat Malaysia,” jelasnya.

kredit: Sinar Harian