BAM rangka pelan jangka panjang buat Letshanaa

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, menjelaskan pengambilan semula pemain negara, K. Letshanaa, sudah lama dibincangkan malah sebelum pemain itu menjuarai Cabaran Antarabangsa di Uganda lagi, kelmarin.

Selepas setahun meninggalkan BAM berikutan masalah belakang, semalam atlet berusia 20 tahun itu diumumkan kembali ke pangkuan badan induk berkenaan.

Choong Hann turut berkongsi bahawa mereka akan mengadakan perbincangan bersama pemain itu bagi memastikan sasaran musim ini selari dengan BAM.

“Dia mungkin sudah menetapkan tempoh untuk dirinya sendiri.

“Selepas itu dia perlu membuktikan pencapaiannya sepanjang tempoh itu sebelum kami memberikan pandangan kepada tahap permainannya dan bagaimana BAM boleh membantunya selain masalahnya mampu diatasi untuk menjadi pemain lebih baik.

“Kami akan bentuk satu pelan jangka masa panjang dalam membantunya menjadi pemain yang lebih baik.

Selain itu, Choong Hann turut berkongsi bahawa pemain perseorangan lain perlu lebih menonjol jika ingin diberi perhatian seperti Ng Tze Yong.

Ini disebabkan timbul persoalan adakah BAM mengulangi perkara sama ketika era Lee Zii Jia apabila tumpuan badan induk itu kini beralih ke Tze Yong.

Sekali gus pemain perseorangan yang lain seperti Leong Jun Hao, Aidil Sholeh Sadikin masih gagal mempamerkan prestasi memberangsangkan.

“Setiap jurulatih mempunyai fokus yang perlu ditekankan.

“Jadi kami melayani setiap pemain berbeza dan andai kami berikan fokus kepada seseorang pemain itu, ia disebabkan pemain tersebut sememangnya berhak.

“Mengapa kita perlu nafikan peluangnya?”, katanya lagi.

Sumber : Stadiumastro